Dalam melaksanakan Tugasan
KPD 4046 Kaedah Mengajar, kami telah ditugaskan untuk melaksanakan pengajaran
makro. Kami telah meminta bantuan rakan sekelas untuk mengambil rakaman
pengajaran makro yang dijalankan. Sepanjang tempoh pelaksanaan pengajaran makro
Sains tingkatan dua yang bertajuk Biodiversiti yang telah dilakukan, kami
mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kekuatan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran tersebut.
KELEMAHAN
Dalam melaksanakan set
induksi sebagai permulaan pengajaran, saya mendapati tempoh masa yang diambil
terlalu panjang dan melebihi masa yang dirancang. Dalam perancangan
sepatutnya saya melaksanakan set induksi itu selama lima minit tetapi ia telah
dijalankan hampir sepuluh minit. Sebagai tindakan susulan untuk memperbaiki
pengajaran, saya perlu bijak menguruskan masa dan merancang set induksi agar
tidak mengambil masa yang terlalu lama.
Penggunaan model anak patung ular
sebagai bahan bantu pengajaran
menyebabkan beberapa pelajar terutamanya pelajar perempuan menjerit
ketakutan dan juga terkejut apabila
diusik oleh pelajar lelaki yang nakal. Suasana sedikit kecoh dengan situasi
tersebut dan mungkin ini menyebabkan tempoh masa melebihi 5 minit Sebagai tindakan susulan saya haruslah
menyediakan bahan bantu mengajar terutamanya model anak patung yang tidak
menakutkan pelajar-pelajar agar tidak
menimbulkan sebarang kekecohan.
Selain itu, murid-murid
juga agak malu dan pasif dalam memberikan respon atau maklum balas kepada
soalan guru. Hal ini mungkin berlaku kerana para pelajar agak terganggu dengan
rakaman yang dibuat dan kurang menguasai pelajaran yang lepas. Oleh itu, saya
haruslah memperbaiki pengajaran agar memastikan murid-murid lebih aktif dan
berani dengan pendekatan yang lebih berpusatkan murid dan teknik penyoalan yang
lebih baik. Selain memanggil nama murid dan memberi peluang untuk menjawab,
saya juga boleh merangsang minat dan penglibatan murid dengan memberikan
peneguhan positif dan pujian seperti baik, bagus dan sebagainya untuk memberi
galakan dan motivasi kepada mereka.
Walaupun penglibatan murid adalah baik, tetapi teknik
penyampaian terutama dari segi teknik penyoalan murid masih kurang
berkesan. Ini dapat dilihat ada kalanya murid kelihatan pasif mungkin
kerana ada rasa gentar di kalangan murid tertentu apabila disoal sama ada
memang faham atau tidak tentang apa yang diajar.
Penggunaan masa juga ada
kelemahan kerana didapati peruntukan masa dalam pengajaran tersebut ialah 40
minit tetapi guru menggunakan masa melebihi satu jam untuk menyelesaikan sesi
pengajarannya.
KEKUATAN
Sebagai
kekuatan kepada set induksi yang dijalankan, penggunaan model anak patung dapat
merangsang murid-murid untuk berfikir dan cuba membuat andaian. Ini secara
tidak langsung meningkatkan kemahiran berfikir murid secara kritis. Selain itu,
model anak patung yang ditunjukkan juga bersesuaian dengan isi pelajaran yang
hendak diajar. Namun demikian, saya boleh menambahkan lagi daya tarikan dan
minat murid sekiranya model anak patung yang ditunjukkan diselitkan dalam
bentuk audio untuk menampakkan situasi yang lebih nyata.
Selain daripada itu, penggunaan model
anak patung juga dapat membantu murid untuk mengingat semula pelajaran yang
sudah dipelajari. Dengan penyediaan model anak patung yang comel dan berwarna boleh
menarik minat pelajar untuk menumpukan perhatian mereka semasa melihat model
anak patung tersebut. Sebagai meningkatkan lagi mutu pengajaran, saya boleh
menggunakan nyanyian untuk memberikan lebih keseronokan bagi menggantikan
penggunaan model anak patung.
Dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut, strategi
pengajaran yanng digunakan adalah lebih berpusatkan murid dan guru. Ini dapat
dilihat melalui penglibatan semua murid dalam aktiviti pembelajaran yang telah
dilaksanakan. Murid juga kelihatan aktif dalam pembelajaran tersebut. Rentetan
itu, iklim kelas adalah baik di mana suasana yang ditunjukkan oleh murid adalah
ceria.
Begitu juga dengan
penggunaan alat bantu mengajar juga sesuai. Guru telah menyediakan model anak
patung,buku bergambar haiwan, penyediaan
slide power point, kertas majong, marker, papan tulis dan menyediakan lembaran
kerja kepada murid-murid. Penyediaan lembaran kerja seperti ini memang baik,
kerana ia sangat menarik kelihatan kemas berbanding daripada kita menyuruh
murid-murid menyalin sendiri soalan di papan tulis.
KESIMPULAN
Melalui
refleksi yang dibuat, kami dapat menilai keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran yang telah dijalankan dalam pengajaran makro. Di samping itu, saya
juga dapat memperbaiki setiap kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi
mutu pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang dirancang akan dapat
dicapai.
Kepelbagaian bahan bantu mengajar
sememangnya banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran kami. Namun
begitu, sekiranya kami bijak dan mahir mempelbagaikan bahan bantu pengajaran
dengan penggunaan pelbagai media yang lebih canggih terutamanya pengaplikasian
teknologi, proses pengajaran dan pembelajaran saya akan menjadi lebih
menyeronokkan dan dapat meningkatkan minat serta tumpuan murid.