Tuesday, 18 December 2012

REFLEKSI PENGAJARAN MAKRO (5/12/12)



Dalam melaksanakan Tugasan KPD 4046 Kaedah Mengajar, kami telah ditugaskan untuk melaksanakan pengajaran makro. Kami telah meminta bantuan rakan sekelas untuk mengambil rakaman pengajaran makro yang dijalankan. Sepanjang tempoh pelaksanaan pengajaran makro Sains tingkatan dua yang bertajuk Biodiversiti yang telah dilakukan, kami mendapati terdapat beberapa kelemahan dan kekuatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut.

KELEMAHAN

Dalam melaksanakan set induksi sebagai permulaan pengajaran, saya mendapati tempoh masa yang diambil terlalu panjang dan  melebihi masa yang dirancang. Dalam perancangan sepatutnya saya melaksanakan set induksi itu selama lima minit tetapi ia telah dijalankan hampir sepuluh minit. Sebagai tindakan susulan untuk memperbaiki pengajaran, saya perlu bijak menguruskan masa dan merancang set induksi agar tidak mengambil masa yang terlalu lama. 

Penggunaan model anak patung ular sebagai bahan bantu pengajaran  menyebabkan beberapa pelajar terutamanya pelajar perempuan menjerit ketakutan dan juga terkejut  apabila diusik oleh pelajar lelaki yang nakal. Suasana sedikit kecoh dengan situasi tersebut dan mungkin ini menyebabkan tempoh masa melebihi 5 minit   Sebagai tindakan susulan saya haruslah menyediakan bahan bantu mengajar terutamanya model anak patung yang tidak menakutkan pelajar-pelajar  agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Selain itu, murid-murid juga agak malu dan pasif dalam memberikan respon atau maklum balas kepada soalan guru. Hal ini mungkin berlaku kerana para pelajar agak terganggu dengan rakaman yang dibuat dan kurang menguasai pelajaran yang lepas. Oleh itu, saya haruslah memperbaiki pengajaran agar memastikan murid-murid lebih aktif dan berani dengan pendekatan yang lebih berpusatkan murid dan teknik penyoalan yang lebih baik. Selain memanggil nama murid dan memberi peluang untuk menjawab, saya juga boleh merangsang minat dan penglibatan murid dengan memberikan peneguhan positif dan pujian seperti baik, bagus dan sebagainya untuk memberi galakan dan motivasi kepada mereka.

Walaupun penglibatan murid adalah baik, tetapi teknik penyampaian terutama dari segi  teknik penyoalan murid masih kurang berkesan. Ini dapat dilihat ada  kalanya murid kelihatan pasif mungkin kerana ada rasa gentar di kalangan murid tertentu apabila disoal sama ada memang faham atau tidak tentang apa yang diajar.

Penggunaan masa juga ada kelemahan kerana didapati peruntukan masa dalam pengajaran tersebut ialah 40 minit tetapi guru menggunakan masa melebihi satu jam untuk menyelesaikan sesi pengajarannya.

 KEKUATAN

Sebagai kekuatan kepada set induksi yang dijalankan, penggunaan model anak patung dapat merangsang murid-murid untuk berfikir dan cuba membuat andaian. Ini secara tidak langsung meningkatkan kemahiran berfikir murid secara kritis. Selain itu, model anak patung yang ditunjukkan juga bersesuaian dengan isi pelajaran yang hendak diajar. Namun demikian, saya boleh menambahkan lagi daya tarikan dan minat murid sekiranya model anak patung yang ditunjukkan diselitkan dalam bentuk audio untuk menampakkan situasi yang lebih nyata.

Selain daripada itu, penggunaan model anak patung juga dapat membantu murid untuk mengingat semula pelajaran yang sudah dipelajari. Dengan penyediaan model anak patung yang comel dan berwarna boleh menarik minat pelajar untuk menumpukan perhatian mereka semasa melihat model anak patung tersebut. Sebagai meningkatkan lagi mutu pengajaran, saya boleh menggunakan nyanyian untuk memberikan lebih keseronokan bagi menggantikan penggunaan model anak patung.

Dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut, strategi pengajaran yanng digunakan adalah lebih berpusatkan murid dan guru. Ini dapat dilihat melalui penglibatan semua murid dalam aktiviti pembelajaran yang telah dilaksanakan. Murid juga kelihatan aktif dalam pembelajaran tersebut. Rentetan itu, iklim kelas adalah baik di mana suasana yang ditunjukkan oleh murid adalah ceria.

Begitu juga dengan penggunaan alat bantu mengajar juga sesuai. Guru telah menyediakan model anak patung,buku bergambar haiwan,  penyediaan slide power point, kertas majong, marker, papan tulis dan menyediakan lembaran kerja kepada murid-murid. Penyediaan lembaran kerja seperti ini memang baik, kerana ia sangat menarik kelihatan kemas berbanding daripada kita menyuruh murid-murid menyalin sendiri soalan di papan tulis.

KESIMPULAN

Melalui refleksi yang dibuat, kami dapat menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan dalam pengajaran makro. Di samping itu, saya juga dapat memperbaiki setiap kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang dirancang akan dapat dicapai.

Kepelbagaian bahan bantu mengajar sememangnya banyak membantu proses pengajaran dan pembelajaran kami. Namun begitu, sekiranya kami bijak dan mahir mempelbagaikan bahan bantu pengajaran dengan penggunaan pelbagai media yang lebih canggih terutamanya pengaplikasian teknologi, proses pengajaran dan pembelajaran saya akan menjadi lebih menyeronokkan dan dapat meningkatkan minat serta tumpuan murid.



No comments:

Post a Comment